Pendahuluan

Satu aspek terbesar yang memainkan peranan dalam kehidupan manusia sejagat adalah politik. Hendak atau tidak, politik tetap berlaku dalam kehidupan setiap insan bagi menjadikan kehidupan mereka normal dan teratur. Segala masalah yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini adalah berlaku akibat politik Politik yang tercipta dari perbuatan manusia sendiri ini mestilah mempunyai panduan supaya tidak terkeluar dari landasannya.. Agamalah satu-satunya panduan yang dimaksudkan ini. Satu pemberian dari pencipta yang sudah tentu mengetahui segala-galanya tentang ciptaannya lebih dari ciptaannya itu sendiri. Apabila politik yang dicipta oleh manusia dan panduannya iaitu agama yang dicipta oleh tuhan yang maha mengetahui dipisahkan, segala kebuntuan terhadap masalah yang melanda umat manusia kini tidak dapat diselesaikan. Tidak kiralah sama ada politik itu dilihat dari segi pemerintahan atau kehidupan manusia. Jadi wajarlah dikatakan bahawa politik dan agama itu tidak dapat dipisahkan dan sudah tentu agama yang dimaksudkan di atas merupakan agama yang dicipta oleh Allah s.w.t dan bukannya agama yang dicipta oleh manusia sendiri.

  1. AGAMA
  2. 1.1 Pengertian Agama.

    Di dalam beberapa kamus Arab, perkataan agama mempunyai berbagai erti . Agama merupakan kepercayaan kepada tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan tuhan dan penerimaaan ajaran dan perintahnya atau kepercayaan kepada dewa yang dipuja dan dianggap sebagai sesuatu yang berkuasa.2 Walaubagaimanapun, istilah agama dalam sesetengah pendapat ahli fikir merupakan satu sistem tauhid atau sistem kepercayaan terhadap sesuatau kewujudan mutlak (absolute) diluar diri manusia, agama merupakan satu sistem nilai ritual atau peribadatan (penyembahan) dari satu insan kepada suatu yang diberi gelaran yang mutlak dan agama merupakan kaedah menjadikan hubungan manusia antara sesama manusia dan pola hubungan dengan pencipta (Ramli Awang ,PPTS, 1995).

    Secara ringkasnya agama adalah prinsip-prinsip ynag menjadi pegangan oleh sesuatu umat atau bangsa sama ada bersifat hubungan kepercayaan atau tingkah laku amalan .

    Gejala agama merupakan fitrah yang sentiasa membuak-buak di dalam diri manusia. Bahkan ditegaskan bahawa tidak ada sesuatu gejala yang lebih jelas dan nyata , lebih berkesan dan berpengaruh di dalam kehidupan manusia selain daripada gejala agama . Menurut Brnest Renon 3

    "Memang sangat mungkin kalau sesuatu itu akan semakin pudar dan hilang. kebebasan menggunakan akal, sains perindustrian akan hilang tetapi adalah mustahil kalau agama akan hilang, bahkan akan tetap kekal sebagai hujah yang kukuh terhadap kebatilan aliran materialisme dalam daerahnya yang sempit dan rendah "

    Pernah dikatakan oleh seorang ahli sejarah Yunani bahawa 4

    " Terdapat dalam sejarah bandar-bandar tanpa istana dan tempat-tempat perusahaan tanpa kota; tetapi tidak pernah terdapat bandar-bandar tanpa rumah ibadat"

    Ini menggambarkan sifat terhadap agama tidak pernah padam dalam diri manusia. Ia sentiasa seiring dengan tamadun manusia. Biarlah apa sahaja teknologi yang diguna pakai oleh manusia, sifat keagamaan tetap diperlukan. Peristiwa membunuh diri beramai-ramai di Guyana bermotifkan ajaran agama sesat di bawah pimpinan Jim Jones membuktikan dengan jelas hakikat agama yang amat diperlukan kepada mereka sehingga sanggup pengikut-pengikutnya membunuh diri di atas tuntutan terhadap agama.

    Konsep berpasangan yang dicipta oleh yang Allah Yang Maha Esa amat luas sekali aplikasinya di dalam alam ini. Konsep ini ada di mana-mana sahaja. Begitulah dengan agama . Ada yang memerlukan agama sebagai penunjuk jalan kehidupan malahan tidak kurang pula yang menolak agama dengan mengikut hawa nafsu semata-mata.

    Pendapat-pendapat terhadap penolakan agama ini wujud di barat ketika dunia barat dilanda zaman kegelapan (dark ages). Pada zaman tersebut pemikiran rakyat disekat, penindasan berleluasa dan sebagainya oleh doktrin gereja yang sebenarnya menpunyai tujuan-tujuan negatif. Mereka menjadikan agama sebagai topeng di atas kepentingan politik mereka. Pendapat ini dibuktikan melalui pengakuan seorang paderi kepada seorang pelajar Islam ketika perdebatan di antara mereka. Kata-kata paderi tersebut berbunyi5

    " Wahai Muhammad, telah anda ketahui apa yang saya sampaikan kepada anda… . Wahai anak, aku ini ketua paderi di negara kamu, sebenarnya kami mempunyai tujuan politik lain yang mesti kami perjuangkan di sini. Tujuan-tujuan agama bagi kami hanyalah semata-mata alat. Saya harap anda mengerti….."

    Di atas kesedaran terhadap apa yang telah berlaku kepada diri mereka, masyarakat barat bangkit menentang doktrin gereja. Pada kurun ke-lapan, sesetengah ahli fikir barat telah melahirkan pendapat bahawa agama merupakan susunan dan rekaan baru yang dicipta oleh manusia. Ada juga yang berpendapat bahawa tuhan sudah mati.

    Menurut Voltaire, idea bertuhan itu sebenarnya rekaan tukang tiup lilin yang bijaksana yang terdiri daripada sami-sami dan padri-padri dan kemudian dari orang bodoh (Mohd . Sulaiman ,1988). Karl Marx yang terkenal dengan " Fahaman Marx " pula mengatakan agama ialah rintihan kecewa makluk tertindas , sesuatu perasaan terhadap dunia yang kejam, sekadar keadaan jiwa yang tidak bermanya dan merupakan candu kepada manusia (Ramli Awang, 1995).

    Walau apa pun pendapat yang dikemukakan oleh manusia berhubung dengan perlu atau tidak agama itu, ia memperlihatkan satu keperluan, tuntutan naluri yang telah dtetapkan di dalam diri setiap manusia. Ini adalah kerana setiap pekerjaan yang dilakukan pasti didahului oleh satu pendapat, pemikiran, aqidah yang menentukan matlamat kerjanya dan memberikan gambaran umum tentang langkah-langkah untuk melakukan kerja sebelum dilaksanakan (Ramli Awang, 1995).

     

  3. POLITIK
  4. 2.1 Pengertian Politik

    Aristotle mengatakan bahawa (Syed Ahmad Hessein,1995) kita semua terlibat dalam politik dan ilmu politik itu ibu segala ilmu. Ini kerana ilmu politik mengandungi ilmu sains politik, sejarah politik dan sosiologi politik. Ketiga-tiga cabang politik ini adalah berkaitan dengan teori-teori kenegaraan organisasi, kerajaan dan negara secara praktikal, mengkaji tentang peradaban masyarakat terhadap kehidupan kenegaraan dan penglibatan masyarakat keseluruhan dalam menentukan bentuk dan sistem politik yang diamalkan di negara tersebut.

    Sebenarnya istilah politik berasal dari perkataan Yunani iaitu ‘Polis’ yang bermaksud negara atau bandar 6. Istilah politik lebih kepada kehidupan di dalam kumpulan disebuah bandar yang mempunyai kelompok-kelompok organisasi ketua iaitu pemerintah (legislatif) dan kuasa atau pentadbiran (eksekutif)7 . Kuasa politik bukan sekadar memerintah tetapi merangkumi faktor-faktor tingkah laku manusia dalam masyarakat, bidang-bidang ekonomi dan pentadbiran (Mohd Sulaiman, 1988).

    Di dalam ideologi8 Islam, politik dikatakan sebagai sesuatu yang bersih kerana politik Islam terbina diatas dasar aqidah atau di sebut sbagai ‘ taswwur Islami ‘ (Mohd Sulaiman, 1988). Di antara dasar ideologi politik ini ialah kuasa mutlak untuk menggubal atau merangka undang-undang hanyalah Allah s.w.t9. Oleh kerana itu politik dan agama Islam tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan maka bermakna tidak akan bererti seseorang muslim itu.

    Jadi tidak hairanlah jika dunia barat beranggapan bahwa politik itu sesuatu yang kotor ( Kassim: 12) kerana mereka sengaja memisahkan politik dari agama mereka sebagai pegangan hidup mereka. Mereka menghambakan diri pada benda (Meterialisme) bukan kepada tuhan. Mereka berpandukan kepada hukum akal10 semata-mata. Maka wujudlah ideologi yang memisahkan agama dari politik di antaranya seperti komunisme, sosiolisme, nasiolisme dan zionisme yang mana semua ideologi ini tercetus di dunia barat dan merebak ke serata dunia.

    Istilah politik amat luas tafsiran penggunaannya. Tetapi sengaja dipersempitkan. Cuba kita lihat masyarakat disekeliling kita , istilah politik selalu dikaitkan dengan parti-parti politik sahaja. Kita sedia ketahui politik itu sendiri dapat mengajak manusia berfikir. Satu contoh yang mudah kalau kita didatangi oleh seorang peminta sedekah kita dengan murah hati menderma sebanyak 20 sen. Apalah sangat 20 sen tersebut. Tapi jika peminta tadi telah pergi kepada 100 orang dalam sehari. Berapakah yang dapat dikumpul olehnya pada hari itu. Tentulah lumayan. Adakah masyarakat kita tidak memikirkannya. Jadi, tidak hairanlah jika orang mengatakan sesetengah rakyat Malaysia malas berfikir.

    Sekarang kita pergi kepada konteks yang lebih luas lagi, kita lihat sistem petadbiran di negara kita sendiri. Dari sudut mana dikatakan negara Malaysia dikatakan sebagai sebuah negara Islam. Sistem pemerintahankah, sistem ekonomikah atau sistem sosial? Disinilah kita perlukan masyarakat yang fahamkan politik. Yang tahu menilai ideologi islam dan ideologi barat yang sekaligus memisahkan agama sebagai cara hidup. Di sini bukanlah kita nak mempertikai sistem pemerintahan negara kita tetapi itulah satu realiti yang harus kita fikirkan besama.

     

  5. ANTARA POLITIK DAN AGAMA TIDAK DAPAT DIPISAHKAN
  6. Dalam kehidupan seharian, setiap benda yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa mempunyai saling kaitan antara satu sama lain. Hal-hal seperti agama dan politik tidak terkecuali dalam hal ini. Politik merangkumi makna yang cukup luas. Bukan sahaja tertumpu kepada aspek pentadbiran dan kenegaraan semata-mata, malahan hubungan sesama manusia dan juga kehidupan seharian juga dikatakan sebagai politik. Pendek kata , apa sahaja yang kita lakukan adalah politik. Kita mungkin keliru memikirkan apa yang dimaksudkan sebagai politik itu. Akan tetapi inilah hakikat yang sebenarnya . Agama sebagai satu kepercayaan dan pegangan merupakan tunjang kepada semua aspek kehidupan termasuklah aspek politik . Apa sahaja yang kita lakukan perlulah mengikuti jalan-jalan yang disyorkan oleh agama. Jika ianya bertentangan , sudah pasti akan terdapat masalah dan kerumitan yang bakal timbul.

    Sebagai lanjutan, politik bertolak daripada aqidah dan juga berasaskan tasawur yang tetap dan syumul. Dari sinilah, Islam tidak terpisah daripada politik dan politik tidak tersisih daripada agama . Hakikat inilah yang melahirkan suatu ungkapan yang menggambarkan suatu rumusan yang diakui oleh umat Islam secara ijma’ : Islam din wa Dawlah.11 Apa yang ada dalam agama sehingga menyebabkan politik tidak tersisih daripadanya? Hal yang demikian mungkin menyebabkan kita tertanya-tanya . Di dalam agama terdapat aqidah yang mendukungnya. Aqidah merupakan asas dalam agama . Jika aqidah itu pincang , maka pincanglah agama itu.

    3.1 Ciri-ciri dalam aqidah Islam yang menyebabkan politik tidak tersisih daripada agama:-

      1. Aqidah Islam adalah aqidah yang menyeluruh ( syumul )
      2. Aqidah Islam yang menyeluruh membawa pengertian bagi semua aspek. Baik daripada aspek rohaniah mahupun jasmaniah. Gabungan daripada kedua-dua aspek ini memangkinkan kepada keutuhan politik dalam agama. Di sini tidak akan timbul politik yang tersisih daripada agama.

      3. Aqidah Islam adalah aqidah yang kekal
      4. Aqidah Islam merupakan aqidah yang kekal kerana ia berteraskan kepada asas-asas yang kekal . Ini berlainan sama sekali dengan sesetengah agama ataupun ideologi yang berdasarkan kepada materialisme semata-mata. Yang selainnya pula mengasaskan kepercayaan atau pegangannya kepada asas-asas yang bersifat sementara seperti kenegerian , kebangsaan atau perkauman12 . Pegangan yang teguh dan erat menyebabkan politik tidak akan tergelincir daripada landasan agama buat selama-lamanya

      5. Aqidah Islam adalah aqidah yang sesuai sepanjang masa
      6. Sememangnya kita mahukan politik itu bersesuaian dengan masa . Dalam hal ini , Islam dalam pecahannya iaitu aqidah merupakan ajaran yang bersesuaian sama ada pada tempat atau masa . Kita tidak mahu aspek politik yang kita uruskan itu hanya sesuai untuk masa-masa yang tertentu sahaja. Pastinya keributan ataupun kelam kabut tidak berlaku pada aspek politik jika aqidah yang didukung itu sesuai sepanjang masa .Inilah arah dan hala yang sedang dicari dan dituju oleh manusia masa kini setelah menyedari akan ketidaksesuaian pelbagai teori, ideologi dan kepercayaan yang direka dan dicipta oleh manusia yang bercanggahan dengan tabiat semulajadi insan dan kehidupan.

      7. Aqidah Islam penyelamat ummat
      8. Aqidah Islam dapat menyelamatkan manusia daripada segala macam bentuk penindasan termasuklah penindasan politik. Ini adalah kerana dalam Islam itu sendiri, semua manusia adalah sama tidak mengira keturunan ataupun darjat. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:-

        " Manusia adalah sedarjat laksana gigi sikat; tidak ada kelebihan orang Arab atau orang Ajam kecuali dengan takwa."

        Adalah menjadi kewajipan untuk menegur dan memperbetulkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan penindasan dan kezaliman ke atas masyarakat dan rakyat. Al-Quran telah merakamkan banyak contoh yang waqi’i atau yang benar-benar telah berlaku sehingga menjadikan kita benar-benar merasakan betapa jauh kesan aqidah Islam ini dalam ketinggian dan kemuliaan hidup manusia.

         

      9. Aqidah Islam penyusun nilai hidup

    Dalam aqidah Islam, penyusunan dan pengaturan nilai-nilai hidup berlaku. Berlainan dengan ideologi-ideologi yang lain, ada yang meletakkan kekuatan dan kekuasaan sebagai nilai utama. Ada juga yang meletakkan materialistik sebagai matlamat dalam kehidupan. Jika ini berlaku, sudah pasti aspek politik dalam Islam akan tercemar. Walaubagaimanapun, aqidah Islam tidaklah sedemikian rupa. Aqidah Islam memusatkan alam semesta dan kehidupan manusia di atas asas nilai-nilai yang mutlak, umum dan tetap hak serta hakiki, iaitu nilai keimanan kepada Allah.13 Islam tidak menolak kekuatan tetapi meletakkannya di tempat yang sesuai . Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:-

    " Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka menurut kesanggupan kamu dan pasukan berkuda di perbatasan untuk menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu dan yang lain di samping mereka yang tidak kamu ketahui , tetapi Allah mengetahuinya . Dan apa-apa yang kamu nafkahkan di jalan Allah , nescaya akan dibalas cukup kepada kamu dan kamu tidak akan dirugikan".

    (Surah Al Anfal, ayat 60)

    Islam juga tidak menafikan nilai harta dan wang tetapi meletakkannya pada tempat yang layak dalam kehidupannya dengan panduan dan syaratnya yang menjamin keutuhan tamadun manusia itu sendiri. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:-

    "Wahai orang-orang yang beriman ,janganlah kamu jadikan terlarang barang yang baik-baik ,yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tiada menyukai orang-orang yang melampaui batas.

    ( Surah Al Maidah, ayat 87)

     

  7. Masalah Yang Mungkin Akan Timbul Akibat Pemisahan Antara Politik Dan Agama.
  8. Pemisahan sesuatu perkara daripada induknya akan mendatangkan masalah dan kerumitan. Hal ini sememangnya akan berlaku jika politik itu tidak berada di bawah dasar agama . Pastinya arah dan haluan politik itu sendiri akan terumbang ambing. Rintangan dan halangan yang tertentu akan menjadikan politik itu hanyut ditelan masa. Kemelut ini akan terus berpanjangan jika ianya tidak di ambil tindakan yang segera. Adapun masalah-masalah yang bakal timbul adalah:-

    1. Wujud ketidakadilan dalam politik
    2. Setiap insan di bumi ini termasuklah yang sempurna ataupun yang tidak sempurna mempunyai hak masing-masing. Hak mereka ini tidak boleh dicerobohi mahupun dicemari. Jika politik itu tidak berpandukan kepada agama, yang kuat akan menindas yang lemah. Hal yang sedemikian tidak sepatutnya terjadi . Apa yang sepatutnya adalah yang kuat membela yag lemah . Perkara sedemikian berlaku disebabkan oleh ketidakadilan yang menunjangi kehidupan . Natijahnya, tiada kesudahan bagi perkara ini. Mana yang hak dan yang batil tidak akan dapat ditentukan perbezaannya. Pendek kata, keburukan yang timbul adalah daripada keserakahan mencapai kemajuan duniawi dan kerana revolusi oknum-oknum dan golongan yang tidak sabar akan hukum moral dan ketertiban14.

       

    3. Wujud penyelewengan dalam politik
    4. Dalam politik, amanah memainkan peranan yang penting . Jika sifat ini tiada dalam diri setiap individu , maka akan wujudlah penyelewengan. Hak seseorang individu itu pastinya akan dipergunakan oleh individu yang lain untuk kepentingan mereka sendiri. Mungkin hak kita sendiri yang akan digunakan tanpa kita sedari. Secara tidak langsung, kehidupan ini dikatakan sebagai kehidupan yang bukan hakiki tetapi kehidupan yang batil dan sesat , khayalan dan sangkaan yang tidak menghasilkan nilai-nilai yang hakiki tetapi menghasilkan kepalsuan, kehampaan dan sia-sia15.

    5. Wujud keributan dalam politik

    Sesuatu perkara yang tidak ditunjangi oleh agama pastinya mendatangkan keributan ataupun kucar kacir dalam kehidupan manusia . Kehidupan manusia bukan sahaja akan kucar kacir , bahkan yang lebih dahsyat lagi adalah bakal menghancurkan. Manusia akan mula mencari arah dan hala tujuan mereka. Pada ketika ini, keadaan mungkin menjadi genting di mana masing-masing menuding jari menunjukkan kesalahan antara satu sama lain. Nilai-nilai murni yang selama ini terbina atas dasar ukhuwah akan menjadi pudar dan mungkin akan hilang.

  9. Penutup

Telah jelas bahawa agama dan politik memang tidak boleh dipisahkan. Malahan apa-apa pun perbuatan yang dilakukan oleh manusia tidak boleh lari dari agama. Apalah gunanya nikmat agama yang telah diberikan oleh tuhan jika kita tidak dapat melaksanakannya dalan kehidupan. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak kehancuran telah berlaku ke atas umat yang tidak menjadikan agama sebagai sandaran terutamanya dalam bidang politik. Cukuplah apa yang berlaku dan haruslah kita ambil tauladan supaya tidak berulang lagi. Adalah wajib bagi kita untuk memperjuangkan yang hak dan batil serta melaksanakannya.

Bibliografi :

H. Zainal Abidin Ahmad, Konsepsi Politik dan Ideologi Islam, N.V. Bulan Bintang. 1977; Jakarta.

H. Mahmud Yunus, Prof. Dr., Tafsir Quranul Qarim, PT. Hidakarya Agung, 186; Jakarta.

Kassim Thukiman, Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik, Cetakan Awal, UTM, 1996; Skudai.

Mohd. Sulaiman Yassin, Pengantar Akidah, Dewan Bahasa dan Pustaka. 1988; Kuala Lumpur.

Muhammad Al. Al-Burney, Islam Landasan Alternatif Administrasi Pembangunan, C.V Rajawali. 1985; Jakarta.

Ramli Awang et. al, Pengantar Falsafah Sains Cetakan Awal, Bahagian Falsafah Sains PPTS UTM, 1995; Skudai.

Syed Ameer Ali, Sejarah Evolusi dan Keunggulan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka 1992; Kuala Lumpur.