PERSADA KATA

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah bersyukur kami ke hadrat Ilahi dimana dengan limpah kurnia-Nya tugasan ini dapat disiapkan juga akhirnya. Meskipun dibatasi dengan tugasan–tugasan lain dan masa yang agak terhad, namun diatas berkat kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh setiap ahli, tanggungjawab ini dapat dilaksanakan.

Tidak dilupakan, kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat pensyarah UHW 3042, Seksyen 1, Ustazah Khadijah bt. Jaafar di atas bantuan dan tunjuk ajar yang diberikan. Sesungguhnya tiada satupun harta di dunia yang dapat membalas budi baik dan keikhlasan seorang pengajar. Semoga setiap ilmu yang diberikan akan mendapat berkat dari-Nya.

Akhir kata, kami memohon ribuan ampun dan maaf andainya terdapat sebarang kesilapan mahupun kekurangan di dalam tugasan ini. Bak kata pepatah bumi mana yang tak ditimpa hujan, lautan mana yang tak bergelora. Semoga usaha yang kami jalankan ini dapat dimanfaatkan degan sebaiknya oleh setiapa pihak.

Sekian, terima kasih.

 

 

 

 

 

 

 

SELAYANG PANDANG

Apabila kita membicarakan subjek ‘Agama Fitrah’ ini, pastinya kita akan mendapati cabangnya yang agak begitu meluas. Setiap perkara yang berkaitan dengan agama dan Islam sudah pasti akan menyentuh subjek fitrah tersebut. Oleh yang demikian di dalam tugasan ini kami cuba membawa pembaca kepada satu tumpuan yang agak menarik untuk dibincangkan mengenai agama fitrah ini.

Pengajian terhadap sains dan agama telah banyak menyingkap tentang rahsia sebenar bahawa agama itu merupakan suatu fitrah yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Malangnya tidak ramai yang mengetahuinya hinggalah tiba pada satu ketika dimana mereka akan menyedari dengan sendirinya.

Disinilah kami cuba menyingkap tentang kebenaran agama, iaitu Islam sebagai satu agama fitrah. Tidak dapat kita nafikan bahawa kejadian sesuatu perkara itu mesti ada penyebabnya, pokok bergoyang kerana angin, manusia hidup kerana cukup makanan dan keperluannya, kertas bertulis kerana ada pen dan tangan yang memandunya dan banyak lagi perrsoalan yang boleh kita kemukakan mengenai kejadian alam yang luas ini yang dapat membawa kita menilai dan berfikir mengenai kebenaran Islam sebagai agama fitrah.

 

 

 

 

 

 

 

 

DEFINISI AGAMA FITRAH

Kita akan membicarakan berkenaan dengan konsep agama fitrah yang boleh kita lihat secara amalinya ada pada agama keagungan Allah SWT iaitu agama Islam. Walau bagaimanapun , perlulah kita meneliti akan pengertian maknanya dahulu untuk mendapatkan gambaran awal.

Agama ialah petunjuk Tuhan untuk menghayati kehidupan dan penghidupan bagi keperluan manusia seluruhnya di permukaan bumi yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul yang didasarkan atas konsep iman dan taqwa. Sesuai dengan itu Allah sebagai Pencipta didalam Bahasa Arab bererti Tuhan, Tuhan yang Maha Esa, Maha Tunggal. Oleh kerana itu dalam pengertian untuk bahasa yang lain, sebagai contohnya dalam Bahasa Perancis, kita harus memakai kata 'Dieu' dan tidak cukup hanya mengambil alih kata Arab ( Allah ) kerana kata ini tidak dimengerti oleh orang Perancis. Bagi umat Islam Allah itu juga Tuhannya Nabi Musa dan Tuhannya Yesus.

Manusia atau insan dilengkapkan dengan hawa nafsu untuk menjadikan mereka sebagai golongan yang sederhana, tidak meningkat ke taraf Malaikat dan tidak turun darjatnya sehingga menjadi haiwan. Dan manusia itu pula dibekalkan dengan akal fikiran berbanding dengan haiwan.

Hawa nafsu sentiasa memujuk dan mengajak manusia melakukan sesuatu tanpa memikirkan apakah akibat yang akan menimpanya. Nafsu tidak mengenal batas, umpamanya akan memakan sesuatu itu tanpa memikirkan apakah benda itu halal dimakan atau sebaliknya. Dengan itu Allah memberi mereka akal untuk memikirkan apakah benda itu selayaknya dimakan atau tidak. Begitu juga, banyak perkara yang tidak sampai terfikir oleh akal sehingga ia perlu kepada petunjuk Allah SWT yang memberi petunjuk kearah jalan yang sebenarnya. Bukan semua perkara dapat difikirkan oleh akal yang cetek dan terbatas keupayaannya itu.

Dengan itu secara keseluruhannya, manusia yang berakal itu perlu kepada agama sebagai satu jalan ke arah kejayaan dunia hingga akhirat.Agama itu bertindak sebagai benteng diri ke atas diri setiap manusia berpandukan ajaran-ajaran agama samawi yakni yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui perantaraan malaikat untuk disampaikan kepada manusia oleh para Nabi dan Rasul. Sesungguhnya kekuatan akal itu mempunyai kelemahan tersendiri yang hanya mampu dijawab oleh agama fitrah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

CIRI – CIRI AGAMA FITRAH

Setiap yang bergerak di atas muka bumi ini, warna-warni yang ada di dalamnya dan segenap makhluk yang menghuninya, yang masing-masing mengucapkan tasbih kepada Allah SWT , sujud kepadaNya sebagai tanda merendahkan diri dan taat setia. Inilah fitrah manusia. Sesungguhnya Islam merupakan agama yang mengajak manusia berfikir sesuai dengan fitrah semula jadi manusia.

Kesesuaian ini adalah berdasarkan faktor di mana Islam adalah agama ketuhanan, universal,menyeluruh, asli dan abadi, memelihara kepentingan manusia, seimbang, menjalin hubungan yang erat antara aqidah dan kehidupan. Kita akan melihat konsep agama fitrah ini secara menyeluruh di mana oleh kerana kesesuaian inilah maka agama Islam dinamakan agama fitrah.

Ketuhanan

Rabbani ( ketuhanan) bolehlah dimaksudkan bahawa agama Islam bukan merupakan ciptaan manusia yang diliputi oleh sifat-sifat kelemahan dan keterbatasan dan terpengaruh oleh faktor-faktor tempat, masa dan budaya serta faktor warisan,watak dan hawa nafsu. Allah SWT adalah Rabb seluruh isi alam yang telah menjadikan segala sesuatu dengan sebaik-baiknya. Ini adalah kerana:

a) Dia benar-benar mengetahui bahawa Allah SWT adalah pencipta Yang Maha Berkuasa. Dia berhak untuk berbuat sekehendakNya terhadap perihal makhlukNya. Allah SWT berfirman :

 

 

 

"Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilikNya. Sekali-kali, tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka persekutukan (dengan dia)."

Al-Qasas : 68

b) Dia mengetahui dengan yakin bahawa Allah SWT Maha Mengetahui segala sesuatu. Ia lebih tahu tentang hukum-hukum yang dikehendaki oleh hambaNya dan lebih tahu tentang maslahah yang wujud untuk mereka.

c) Dia tahu sebenar-benarnya bahawa Allahlah Yang Maha Bijaksana tentang apa-apa yang disyariatkanNya dan yang dijadikanNya.Firman Allah SWT :

" Allahlah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana ".

Al-Anfal : 71

d) Dia mengetahui dengan sesungguhnya bahawa manusia tetap lemah pada dasarnya dan tidak mampu sampai ke tingkat kesempurnaan walau bagaimana matang ilmu pengetahuannya dan tinggi kebudayaannya. Firman Allah SWT:

"Dan manusia dijadikan bersifat lemah ".

An-Nisa’ : 28

 

 

 

 

 

Universal

Agama Islam adalah menyeluruh di mana semua corak bentuk peraturan , hukum,sistem-sistem dan prinsip-prinsipnya mempunyai corak kemanusian (insaniyyah) dan universal. Ia merupakan rahmat bagi seluruh alam,petunjuk dan pedoman bagi semua manusia dan jalan hidup bagi semua manusia. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran mengenai perkara ini:

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu , melainkan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam."

Al-Anbiya’ : 107

"Dan kami tidak mengutus kamu , melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan".

Saba’ : 28

Bertitik tolak daripada ciri universal ini, umat Islam bergerak menyampaikan risalah-risalah Allah SWT sambil merasa takut kepadaNya dan tidak ada yang mereka takuti selain daripada Allah SWT sahaja.Slogan yang mereka laungkan di serata dunia ialah :

"Allah mengutus kami untuk membebaskan manusia daripada kesempitan dunia ini kepada kelapangannya dan daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam ".

Menyeluruh ( Syumul)

Menyeluruh dalam konteks ini bermaksud agama Islam adalah sistem yang tinggi mencakupi sistem dan perundangan dalam setiap segi daripada berbagai segi pembentukan ,pembinaan dan reformasi dan dalam tiap-tiap aspek masyarakat dan kehidupan. Semuanya itu terkandung di dalam prinsip-prinsip yang terperinci lagi bijaksana dan undang-undang Rabbani yang abadi, memberi tanpa mengambil, menyatukan tidak memisahkan, menghimpunkan tidak sewenang-wenang, membangun tidak meruntuhkannya.

Al-Quran sendiri telah mengungkapkan ciri menyeluruh Syariah serta ketinggian prinsip-prinsip dan sistemnya yang ada dengan keterangan yang cukup jelas . Allah SWT berfirman :

"Tiadalah kami alpakan sesuatu pun di dalam Al-Kitab ".

Al-An’am : 38

Keaslian dan Kemantapan

Di antara ciri-ciri kebaikan dan keistimewaan agama Islam yang nyata sekali ialah ia mempunyai sifat asli yang tetap serta keabdian yang kekal dalam nas dan sumber-sumbernya tanpa mengalami penyelewengan dan perubahan serta pertukaran. Al-Quran yang merupakan sumber pertama daripada sumber-sumber perundangan telah dijamin oleh Allah akan dipelihara sehingga hari kebangkitan dan tidak dapat dikotori dengan penyelewengan. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya".

Al-Hijr : 9

Orang-orang Barat yang berfikiran terbuka telah mengakui tentang keasliannya serta keabdiaannya yang kekal sepanjang generasi. Mereka telah mengatakan suatu yang benar secara bersih dan objektif, dan mereka menjelaskan hakikat keaslian Al-Quran secara jujur dan terperinci.

Sunnah pula merupakan sumber kedua daripada sumber-sumber Syariah, bahkan merupakan penjelasan bagi Al-Quran dan sebagai pelengkap bagi sistem-sistem Islam.Jadi Al-Quran dan Sunnah adalah pasangan yang rapat dan tidak boleh terpisah daripada yang lain yang akan dipelihara oleh Allah SWT.

Mudah dan Menghilangkan Kesulitan

Mereka yang mendalami Al-Quran mendapati ianya mempunyai sifat kemudahan, tidak keras dan menghilangkan kesulitan bahkan mendapati bahawa matlamat daripada tasyrik itu sendiri bukanlah menimpakan kesusahan kepada manusia, tekanan dan paksaan.Firman Allah SWT:

" Allah mengkehendaki kemudahan bagimu dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu. "

Al-Baqarah : 185

Para sarjana meringkaskan sebab-sebab yang meringankan tanggungjawab ini iaitu :

a) Perjalanan (musafir )

Dibolehkan berbuka pada bulan Ramadan dan mengqasarkan solat fardhu.

b) Sakit

Dibolehkan berbuka puasa, tayammum dan solat secara duduk.

c) Paksaan

Orang yang dipaksa mengucap kalimat kufur, meninggalkan yang wajib, membinasakan harta orang lain, memakan bangkai dan meminum arak.

d) Lupa

Diangkatkan dosa orang yang melakukan maksiat kerana lupa dan tidak batal puasa orang yang makan dan minum di siang hari pada bulan Ramadan kerana lupa.

Memelihara Kemaslahatan (Kepentingan ) Manusia

Apa yang telah kita ketahui pandangan yang terkandung di dalam Islam adalah bertujuan untuk memelihara kemaslahatan manusia dengan mencukupkan keperluan asas, melengkapkan hajat dan kesempurnaan. Untuk itu wujudlah tiga keperluan hidup untuk manusia yang merangkumi faktor – faktor asasi ( Dharuriyah ), pelengkap (Hajjiat) dan kesempurnaan (Tahsiniyyat ).

  1. Dharuriyyat
  2. Dharuruiyyat adalah semua yang atasnya tertegak kehidupan manusia dan ia mestilah bagi memudahkan kemaslahatan mereka, bererti jika ia tiada maka tergendalalah aturan kehidupan manusia. Perkara-perkara atasi ini, melibatkan pemeliharaan agama, jiwa, akal, kehormatan dan harta.

  3. Hajjiat

Hajjiat adalah semua perkara yang diperlukan oleh manusia untuk kemudahan dan kelapangannya dalam menjalankan tugas-tugas dan bebanan hidup. Jika hal ini tiada, tidaklah tergendala kehidupan manusia dan tidak pula berlaku kerusuhan sebagai mana yang berlaku kepada perkara yang dharuri tadi. Tetapi jika ia tiada, maka mereka akan ditimpa kesusahan dan kesulitan.

 

 

iii) Tahsiniyyat

Perkara-perkara Tahsiniyyat ialah semua yang dituntut oleh kehormatan dan untuk perjalanan kehidupan mengikut cara terbaik. Jika hal-hal ini tiada, maka kehidupan tidaklah sampai tergendala sebagai mana dharuri dan tidak sampai ditimpa kesusahan dan kesulitan seperti mana perkara Hajjiat. Jika Tahsiniyyat tiada maka hidup mereka tidak bahagia dan tidak selesa.

SEIMBANG ANTARA KEBENDAAN DAN KEROHANIAN

Salah satu keunikan agama Islam ialah tidak memikirkan maddah (benda) daripada roh dan tidak memisahkan dunia dan akhirat, akan tetapi ia memandang kehidupan itu sebagai suatu unit yang mutakamil (lengkap– melengkapi) dalam melaksanakan hak–hak, sama ada yang berkaitan dengan perlaksanaan hak–hak Allah atau hak manusia itu sendiri ataupun hak orang lain.

Oleh yang demikian, ia membolehkan manusia untuk melaksanakan kehidupan amalinya yang konkrit dengan segenap kemampuan dan daya upayanya atas asas-asas prinsip Islam yang sesuai dengan fitrah dan kenyataaan hidup. Sesungguhnya Islam dan sistemnya yang mutakamil sama sekali tidak menyetujui kehidupan membujang mahupun kependitaan sebagai mana ia tidak membolehkan pemisahan ini daripada masyarakat, tetapi Islam menganjurkan kepada manusia untuk menyebarkan antara dua keadaan tersebut; melaksanakan hak Allah, hak dirinya dengan hak orang lain, tidak berat sebelah ataupun mengabaikan satu tanggungjawab demi kepentingan tanggungjawab yang lain.

Al–Quran sentiasa mendorong kepada sifat keseimbangan antara kebendaan dengan roh dalam kebanyakan ayat–ayatnya yang menyentuh perasaan dan kalbu sebelum ia mengajak akal untuk berfikir. Al–Quran juga turut mengingatkan manusia agar menunaikan hak Allah dalam ibadat disamping kehidupan perniagaannya, Allah berfirman yang bermaksud :

"Laki–laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli daripada mengigati Allah, dan daripada mendirikan solat, dan daripada membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang pada hari itu hati dan penglihatan menjadi goncang".

An- Nur : 37

Al–Quran mengingatkan penganutnya untuk melaksanakan hak dirinya iaitu berusaha dan mencari rezeki ditengah keasyikan bermunajat kepadaTuhannya dan bersunyi diri di masjid. Allah berfirman yang bermaksud:-

"Apabila ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah".

Al – Juma’ah : 10

Al–Quran juga mengingatkan orang untuk menunaikan hak orang lain atas dirinya untuk berbuat baik, ihsan dan tolong menolong. Allah berfirman yang maksudnya:

"Bukanlah menghadapkan wajah mu ke arah timur dan barat itu suatu kebaktian, akan tetapi sesungguhnya kebaktian orang yang beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat , kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan ) dan orang-orang yang meminta-minta dan memerdekakan hamba sahaya".

Al-Baqarah : 177

Asas–asas yang diletakkan oleh Islam dalam keseimbangan diantaranya ialah:

  1. Mengejar kehidupan akhirat disamping tidak lupa kepada kehidupan dunia.
  2. Menyelar orang yang mengharamkan bagi dirinya perhiasan dan yang baik–baik.
  3. Menyelar orang yang bertapa dengan niat semata–mata beribadat.

Asas–asas yang ditentukan oleh Islam ini bertujuan untuk mengimbangkan kehidupan manusia diantara kebendaan dan roh, agama dan dunia, serta ibadah dan kehidupan agar manusia melaksanakan tugas dan menunaikan risalahnya dengan cara yang paling sempurna, serta meletakkan hak pada tempatnya dalam kehidupan.

HUBUNGAN ERAT ANTARA AQIDAH DAN KEHIDUPAN

Bahawasanya akidah ketuhanan sebagaimana yang diketahui dengan yakin bahawa telah berakar umbi dalam diri manusia dan telah bercampur manisnya dengan hati yang sentiasa berhubungan dengan Allah, nescaya melahirkan suatu perasaan yang mendorong untuk menunaikan kewajipan, menggagalkan segala tipu daya syaitan dan sentiasa membuat benteng penghalang antara manusia dan maksiat.

Perasaan dan rasa tanggungjawab yang bangkit ini memberi dorongan kuat bagi keinginan peribadi seseorang, sehingga ia tidak menjadi tawanan bagi syahwatnya, tidak menjadi hamba bagi memuaskan keinginan hawa nafsunya tetapi ia akan berdisiplin dengan rasa taqwa, dan menolak dengan alat penahan iman, bahkan mendorongnya untuk bekerja lebih serius dan lebih baik dengan mengharapkan ganjaran serta pahala daripada Allah semata–mata.

Pada asasnya agama Islam tidak mungkin dipisahkan diantara akidah dan kehidupan, sebagaimana tidak boleh dipisahkan diantara ibadah dan akhlak, kerana seseorang muslim tidak menjadi muslim sehingga ia mencerminkan akidah rabbaniyyah dalam seluruh amalnya yang bersifat ukhrawi dan duniawi. Begitu juga, seseorang mukmin tidak menjadi mukmin sehingga nampak ibadahnya yang ikhlas kepada Allah dalam seluruh tindak tanduknya sebagai individu dan anggota masyarakat.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

AGAMA ISLAM SEBAGAI AGAMA FITRAH

Sesungguhnya ciri-ciri agama fitrah ini dapatlah disandarkan pada agama Islam itu sendiri berdasarkan konsep Rukun Islam dan Rukun Iman pada keseluruhannya. Walaupun begitu kita akan memperkatakan berkenaan dengan tujuan agama Islam dan juga akidah Islamiyah dahulu untuk mendapatkan petunjuk secara keseluruhan dahulu.

Islam sebagai suatu agama fitrah itu mempunyai tujuan yang sangat banyak dan murni melalui wahyu Allah SWT. Antaranya ialah :

1. Memperbaiki kepercayaan kepada Zat Allah Yang Maha Esa.

2. Memperkukuhkan lagi keyakinan terhadap pencipta alam ini.

3. Menghapuskan kepercayaan kepada yang lain selain daripada Allah SWT.

4. Menghapuskan penyembahan kepada berhala dan benda - benda.

5. Memberi petunjuk bagaimana cara mengabdikan diri kepada Allah SWT.

6. Mengatur cara-cara beribadat.

7. Mengatur cara-cara perhubungan kehidupan manusia.

8. Mengatur hukum-hukum keseksaan atau jenayah yang sesuai dengan manusia.

9. Menegakkan keadilan dan keturunan.

10. Mengatur hukum kekeluargaan dan keturunan.

11. Mempertinggikan akhlak manusia.

12. Mengatur hukum - hukum yang berhubung dengan kebendaan.

Rukun Islam yang akan kita bicarakan ini mengandungi sebanyak lima perkara berdasarkan Al-Quran dan Hadis Sahih. Rukun berdasarkan perkataan Arab bermaksud tiang yang dijadikan sebagai tempat sandaran. Jadi kelima - lima Rukun Islam itu merupakan sandaran utama penerimaan bagi ibadat - ibadat lain. Lima perkara dalam Rukun Islam itu yang menjadi pedoman bagi setiap individu Muslim ialah :-

1. Mengucap dua kalimah syahadah.

2. Sembahyang lima waktu sehari semalam.

3. Puasa di bulan Ramadhan.

4. Mengeluarkan zakat.

  1. Menunaikan haji jika berkemampuan.

RUKUN ISLAM

Mengucap Dua Kalimah Syahadah

Nama lain baginya ialah Kalimah Tauhid, Kalimah Ikhlas dan Syahaadatul Hak. Lafaznya di dalam Bahasa Arab yang diterjemahkan bermaksud :

" Aku bersaksi bahawa tiada satu Tuhan pun yang berhak disembah melainkan hanya kepada Allah sahaja dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah pesuruh Allah SWT sahaja"

Lafaz ini telah diucapkan dari lidah Nabi Muhammad S.A.W yang terdapat dalam riwayat - riwayat sahih seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Syahadah juga mempunyai rukun - rukunnya iaitu:

a) Penafian : ertinya menafikan bahawa tiada Tuhan yang layak dan berhak diserahkan segala bentuk pengabdian.

b) Penetapan : ertinya hanya kepada Allah SWT sahajalah yang berhak diabdikan dan Nabi Muhammad itu hanyalah pesuruhNya sahaja.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

" Barangsiapa yang mentauhidkan Allah dan mengingkari segala apa yang diabdikan selain dariNya maka harta dan darahnya adalah haram (Dari dikhianati atau seumpamanya )."

Imam Ahmad

Hakikat syahadah itu pula saling berkaitan dan perlu memerlukan diantara satu sama lain berdasarkan makna-maknanya seperti berikut :

a) Mengajak manusia agar mengEsakan Allah SWT supaya mengarahkan segala bentuk pengabdian hanyalah kepadaNya dengan disertai keiklasan hati yang hakiki.

b) Mengajak manusia supaya menjauhkan diri daripada gejala-gejala syirik serta kaum kerabatnya.

c) Memimpin hambaNya supaya tidak mengambil selain daripada Allah SWT sebagai Pelindung, Penyelamat ataupun Penghukum.

Mendirikan Solat

Solat ialah segala bacaan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Hanya solat sahaja yang diwahyukan secara langsung oleh Allah SWT kepada RasulNya ketika berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj.Adapun kelebihan-kelebihan dan hikmat mengerjakan solat seperti yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada kita adalah seperti berikut :

a) Akan mendapat pahala daripada Allah SWT serta menghapuskan dosa.

b) Merupakan amalan yang paling afdal.

c) Penawar terbesar bagi penyakit fahsya' dan munkar.

d) Berperanan sebagai penyelamat dari dicop sebagai ahli-ahli syirik dan kafir .

Berpuasa di Bulan Ramadan

Puasa bermakna menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari yang disertai niat pada malamnya. Kewajipan puasa ini sudah dimaklumi sebagaimana terdapat di dalam Al-Quran yang bermaksud :

" Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada mereka sebelum kamu semoga kamu bertakwa. "

Al- Baqarah : 183

Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang menerangkan tentang kelebihan-kelebihan puasa. Sabda Rasulullah SAW :

" Puasa itu adalah perisai daripada dibaham api neraka sebagaimana perisai kamu menyelamatkan kamu di dalam peperangan."

Riwayat Ahmad, Nasaa'ie

Sabdanya lagi :

" Barangsiapa yang berpuasa kerana Allah walaupun sehari , nescaya Allah SWT akan menjauhkan wajahnya ( Dirinya ) 70 kharis jaraknya dari api neraka.)

Riwayat Bukhari dan Muslim

 

Mengeluarkan Zakat

Zakat dari segi bahasa bermaksud kebersihan,kemuliaan,tambahan atau keberkatan. Manakala dari segi istilah pula ia bermaksud mengeluarkan harta tertentu dengan kadar-kadar tertentu, dan dibahagikan kepada mereka yang tertentu apabila telah cukup nisab, dengan syarat-syarat tertentu.

Kewajipan mengeluarkan zakat ini sudah dimaklumi umum sebagaimana Firman Allah SWT:

"Hendaklah kamu dirikan solat dan keluarkanlah zakat ."

Al-Baqarah : 110

Hukum meninggalkan zakat secara ingkar dan menentang pengeluarannya adalah kafir dan terkeluar daripada Agama Islam malahan boleh dijatuhkan hukuman bunuh keatasnya menurut nas-nas sahih dan ijma' ulamak Muslimin.Di antara kelebihan pengsyariatan berzakat ialah :

  1. Menunjukkan tanda ketaatan kita kepada Allah SWT (pemberi rezeki) yang menganugerahkan nikmat harta benda kepada makhlukNya.Maka sewajarnya ditunaikan arahan mengeluarkan sedikit dari nikmat itu untuk diagihkan kepada mereka yang berkelayakan.

b) Dapat mengubati dan menghilangkan penyakit berupa kurang daya tahan melawan virus-virus berbentuk bakhil, kedekut, tamak haloba atau apa-apa yang sebangsa dengannya. Virus-virus ini cukup bahaya kalau gagal dicegah dan didapati ubatnya. Dan virus ini kalau bersatupadu dengan virus jahil dan malas untuk mencari pengetahuan agama,maka tidak hairanlah kalau kita lihat berapa ramai yang memiliki kalimah syahadah telah gagal mendapatkan tiket penerbangan ke Baitullah( Masjidil Haram) walaupun berkesempatan dan sentiasa merantau di bumi Allah ini.

c) Sebagai salah satu cara untuk mengilap iman dan takwa yang kadang kala dicemari karat-karat lemah iman, syak, kurang keyakinan tentang azab sengsara api neraka seperti mana yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis-Hadis Sahih.

Mengerjakan Haji

Mengerjakan Haji merupakan satu kewajipan ke atas setiap Muslim lelaki dan wanita seperti mana Firman Allah SWT:

" Mengerjakan ibadat haji merupakan suatu kewajipan manusia terhadap Allah , iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari kewajipan haji maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (Tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam ."

Al-Imran : 97

Terdapat banyak kelebihan yang berupa pahala dan ganjarannya bagi mereka yang mengerjakan fardu haji seperti yang terkandung di dalam beberapa kenyataan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Barangsiapa yang mengerjakan haji tanpa perbuatan jima' dan maksiat, maka terhapuslah segala dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. "

Riwayat Ahmad, Nasaa'ie, Abu Daud dan lain-lain

 

 

Sabdanya lagi yang bermaksud :

" Dari satu umrah ke satu umrah maka menghapuskan dosa di antara keduanya , dan tidak ada satu balasan yang terbaik untuk Haji Mabrur melainkan akan memperolehi ganjaran Syurga."

Riwayat Bukhari dan Muslim

Selain itu juga segala hukum fakam ibadah dan juga muamalah di dalam Agama Islam hanya berpandukan kepada piawaian Al - Quran dan Hadith Rasulullah SAW untuk menyelesaikan segala persoalan yang timbul.

RUKUN IMAN

Prinsip atau dasar yang merupakan sebagai rukun di dalam Aqidah Islamiyah yang menjadi asas iktikad bagi setiap mukmin itu ada enam perkara iaitu :

a) Keimanan kepada Allah SWT.

b) Keimanan kepada para malaikat.

c) Keimanan kepada semua kitab-kitab samawi.

d) Keimanan kepada semua Nabi dan Rasul.

e) Keimanan kepada Hari Kiamat.

f) Keimanan akan Qada' dan Qadar yang ditentukan oleh Allah SWT.

Ini semua kita dapat ikuti di dalam keterangan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Iman itu ialah mengimani Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari akhir dan beriman dengan qadar sama ada yang baik ataupun yang buruk."

Riwayat Muslim

Keimanan Kepada Allah SWT

Aqidah yang merupakan tunjang keimanan terhadap Allah SWT yang juga telah ditetapkan oleh syarak sebagai asas yang utama untuk memantapkan iktikad setiap mukmin.Aqidah menurut Bahasa Arab ialah ikatan. Menurut pengertian syarak pula aqidah bermaksud ikatan keimanan yang kukuh, teguh, kuatdan mantap terhadap Allah SWT, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, hari akhirat dan keimanan terhadap qada' dan qadar samada yang baik ataupun yang buruk semuanya datang daripada Allah SWT.

Berdasarkan kepada nas-nas syarak ( dari Al-Quran dan Al-Hadis), para ulama usuluddin telah sepakat untuk membahagikan bahagian ini kepada empat bahagian iaitu :

Keimanan secara fitrah

Sabda Rasulullah SAW :

" Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau meMajusikannya."

Riwayat Bukhari

 

 

Keimanan yang berupa Tauhid Rubbubiyah

Tauhid Rubbubiyyah adalah yakin beserta keimanan yang teguh, kukuh dan mantap (istiqamah) tanpa berbelah bagi bahawa Allah sahaja Rabb yang mencipta segala-galanya.Firman Allah SWT:

" Sesungguhnya , Tuhanmu benar-benar Esa. Rabb ( yang mencipta ) langit dan apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan masyrik (tempat-tempat terbit matahari)."

As-Safat : 4-5

Keimanan kepada Uluhiyah

Firman Allah SWT:

" Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."

Al-Baqarah : 163

Tauhid Asma (Nama-nama) dan Sifat Allah

Firman Allah SWT:

"Hanya milik Allah asmaul husna, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut asmaul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut )nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang mereka lakukan."

Al-A'raf: 180

Keimanan Kepada Para Malaikat

Setelah mengimami Rukun Iman yang pertama iaitu beriman kepada Allah yang berasaskan kepada tauhid uluhiyah, tauhid rububiyah dan tauhid asma was sifat, maka prinsip atau Rukun Iman yang kedua ialah percaya atau beriman kepada wujudnya para malaikat.

Jika seseorang itu tidak mempercayai akan wujudnya para malaikat, maka samalah seperti ia tidak beriman kepada Allah, kitab-kitabNya, iaitu samalah juga seperti tidak mempercayai Agama Islam secara keseluruhan dan syumul. Ini adalah kerana pengetahuan terutamanya ilmu - ilmu dalam Agama Islam yang berkaitan dengan ketuhanan, kenabian, akhirat dan hukum hakam yang disampaikan kepada para rasul melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s. yang mana semuanya terkumpul di dalam sebuah kitab suci yang dinamakan Al - Quran.

Maka jika seseorang itu menafikan akan adanya malaikat bermakna ia juga tidak percaya akan kesempurnaan ad-din dan mustahil pula percaya akan adanya malaikat Jibril dan para malaikat lain yang mana mereka itu semua telah diciptakan oleh Allah SWT sebelum manusia dijadikan. Allah berfirman yang bermaksud:

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya aku akan menjadikan khalifah di permukaan bumi".

Al - Baqarah : 30

 

 

 

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Dari Abu Hurairah berkata : Pernah disuatu hari Nabi SAW menemui orang - orang awam, maka beliau didatangi oleh Jibril, kemudian beliau ditanya : Apakah Iman itu ? Nabi menjawab : Iman itu ialah wajib beriman kepada Allah, kepada para malaikatNya, hari pertemuanNya, para rasul - rasulNya dan beriman dengan hari kebangkitan"

Hadith Riwayat Bukhari

Bagi orang - orang yang ingkar dan tidak mempercayai wujudnya malaikat akan dihukum kafir, keji dan telah sesat dari kebenaran agama Islam sehingga menuju kearah kesesatan yang jauh.

Para malaikat adalah makhluk yang maksum, tidak pernah salah, silap dan tidak akan melakukan apapun bentuk maksiat terhadap Allah, kerana para malaikat dicipta semata - mata hanya untuk mentaati Allah SWT. Para malaikat sentiasa menyempurnakan segala amanah dan melaksanakan dengan penuh ketaatan segala tugas yang telah dikhususkan kepada mereka.

Keimanan Kepada Kitab - Kitab Allah

Allah telah menamakan wahyuNya yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan rasul-rasulNya sebelum beliau denga nama al-Kitab. Diantara nama-nama wahyu atau kalam Allah yanag telah diturunkan kepada para rasulNya, sama ada yang telah dimansuhkan atau yang masih terjaga seperti al-Quran ialah :-

 

 

 

  1. Al–Kitab

Al-Kitab jamaknya al-kutub yang berasal dari kalimah "Kitabun " yang bererti sesuatu yang tertulis, yang ditulis atau kumpulan kata - kata yang tertulis.Walaupun wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW disebut "al - Kitab" , "az -Zkir" dan beberapa lagi nama, tetapi nama yang paling masyur disebut dan dikenali ialah dengan sebutan "al - Quran".

b) As - Suhuf

Antara kitab-kitab Allah yang wajib diimami, ada yang dikenali dan dinamakan juga sebagai as-Suhuf seperti suhuf Ibrahim dan Musa a.s.. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :-

"Ini benar - benar terdapat didalam Suhuf - suhuf ( Kitab - kitab) yang dahulu. (Iaitu)Suhuf - Suhuf Ibrahim dan Musa."

Al - A'la : 18 -19

Antara kitab yang telah dimansuhkan yang pernah diturunkan kepada para rasul yang wajib diimami ialah seperti Taurat yang telah diturunkan kepada Nabi Musa a.s.,Zabur yang telah diturunkan kepada Nabi Daud a.s. dan Injil yang telah diturunkan kepada Nabi Isa a.s..

Kitab yang terakhir serta penutup kepada semua kitab - kitab yang lalu yang memansuhkan keseluruhan kitab - kitab sebelumnya ialah Al- Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang juga sebagai nabi yang terakhir.

 

 

 

c) Az - Zikr

Al - Quran dikenali dan disebut juga dengan sebutan dan nama az -Zikr. Sebagaimana firman Allah :

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan az-Zikr (Al - Quran ) dan kami benar - benar memeliharanya."

Al - Hijr : 9

d) Al - Furqan

Allah menamakan juga kitab yang diturunkan kepada RasulNya sebagai al-Furqan yang berbentuk masdar (pisah, beza atau asingkan). Allah menamakan Al-Quran sebagai al-Furqan kerana Al-Quran dapat mengasingkan dan memisahkan antara yang halal dengan yang haram, yang hak dengan yang batil , antara petunjuk dan kesesatan, antara keimanan dan kekufuran, antara mukmin dan kafir serta antara Islam dan Jahiliah.

Setiap mukmin wajib beriman kepada kitab yang telah diturunkan dari langit kepada rasul-rasul Allah terutamanya Al-Quran. Kesucian, kemurnian dan segala hukum hakamnya semuanya terjmin dan terpelihara sehinggalah ke hari kiamat. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :-

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al - Quran dan sesungguhnya Kamilah yang benar - benar memeliharanya."

Al - Hijr : 9

Al-Quran sahajalah yang amat terpelihara dari segala bentuk penyelewengan, sebagai penutup serta pemansuh kepada setiap kitab sebelumnya.

Keimanan Kepada Rasul Dan Nabi

Dari segi bahasa rasul bermaksud utusan atau orang yang diutus untuk menyampaikan pesanan, berita atau amanah. Dari segi syarak ia bermaksud seseorang yang menerima wahyu dari langit untuk disampaikan kepada umatnya. Firman Allah SWT yang bermaksud :-

" Dan telah kami utus seorang rasul pada setiap umat ( untuk menyerukan) sembahlah Allah ( sahaja ) dan jauhilah taghut."

An - Nahl :36

Mentaati Allah SWT kemudian mentaati RasulNya dengan penuh keimanan boleh dilakukan dan dibuktikan hanya dengan mengembalikan segala persoalan yang bersangkut paut dengan ibadah atau ibadah kepada Allah (Al-Quran ) dan RasulNya (Hadis) tanpa melakukan bidaah. Prinsip keimanan yang sempurna ialah berpegang teguh kepada dua perkara ini. Meninggalkannya akan membawa kesesatan dan kekafiran yang nyata sepertimana Firman Allah SWT yang bermaksud :

" Jika kamu saling bantah-berbantahan dalam suatu perkara, maka kembalikanlah ia pada Allah (Al-Quran ), dan Rasul (as-Sunnah ) jika kamu benar- benar beriman kepada Allah dan hari kemudian, yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu ) dan lebih baik akibatnya."

An-Nisa : 59

Keimanan Kepada Hari Akhirat

Dunia ini ada permulaannya dan akan sampai kepada penghujungnya. Disebut hari terakhir (Akhirat) adalah kerana tidak akan ada dunia dan tidak akan ada hari lagi selepasnya. Sesiapa yang tidak beriman dengan kejadiaan hari kiamat atau hari akhirat yang diceritakan di dalam al-Quran, al-Hadith dan ijmak para sahabat dianggap kafir yang nyata.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

" Sesungguhnya hari kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (terhadap hari kiamat)."

Al-Mu'min : 59

" Kemudian sesudah itu , sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan dimatikan. Kemudian sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat ."

Al-Mu'minun : 15-16

Mengimani hari akhirat juga meliputi keimanan kepada tiga unsur yang akan berlaku pada hari kebangkitan tersebut iaitu :

a) Wajib mengimani kebangkitan.

b) Mengimani hisab ( Hari Perhitungan )

c) Mengimani wujudnya syurga dan neraka.

 

 

Keimanan Kepada Takdir ( Qada' dan Qadar)

Setiap mukmin wajib mengimani bahawa takdir ( qada' dan qadar ) Allah SWT yang baik atau yang buruk adalah sudah ditulis dan merupakan ketentuan dariNya untuk seluruh makhluk.Tiada kuasa di atas segala sesuatu kecuali di tangan Allah SWT. Seseorang yang mengingkari akan adanya qada' dan qadar dihukum kafir dan terkeluar daripada agama Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Katakanlah : Sekali-kali tidak akan menimpa kami menainkan apa yang telah ditetapkan (ditulis ) oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal."

At-Taubah : 51

Beriman kepada qada' dan qadar Allah SWT mengandungi empat perkara:

a) Ilmu iaitu mengimani bahawa Allah Maha Mengetahui di atas segala-galanya.

b) Mengimani kitab (tulisan yang berupoa penentuan Allah ) di Loh Mahfudz.

c) Mengimani bahawa setiap kejadian yang berlaku dan segala yang maujud (yang ada ) sama ada di langit atau di bumi, yang ghaib atau yang nyata adalah dengan masyiah (kehendak) Allah SWT.

d) Mengimani bahawa seluruh yang mawujud (yang ada) sama ada zatnya, sifatnya ( bentuknya ) dan segala pergerakannya (perbuatannya) dicipta, ditentukan, dipelihara dan hanya boleh dibinasakan oleh Allah SWT.

 

 

 

Dengan itu, marilah kita jadikan aqidah tauhid yang murni sebagai pegangan sepanjang hayat. Hanya aqidah tauhid pemyelamat umat mukmin dari kesesatan dan api neraka. Semoga dengan aqidah yang bersih ini Allah akan memberi kesempurnaan nikmat Islam, iman, ilmu dan amal kepada kita semua.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejarah Permulaan Dan Kesinambungan Agama Fitrah

Islam ialah agama kepada rasul-rasul dan nabi-nabi sejak Nabi Adam a.s sehingga kepada nabi yang terakhir iaitu Muhammad SAW. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah adalah Islam".

Ali Imran: 19

Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud:

"Nabi Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani akan tetapi dia adalah seorang pengikut jalan yang lurus dan menyerahkan diri kepada Allah (Islam) dan dia tidak sekali-kali termasuk di dalam kalangan orang-orang musyrikin"

Ali Imran : 67

Islam bermakna menyerah diri kepada Allah SWT pada perintah dan larangannya melalui Wahi dan wahyu. Para nabi dan rasul adalah yang pertama yang menyerah diri kepada Allah Taala dan dengan itu manusia juga diperintahkan untuk sama-sama patuh dan menyerah diri kepada Allah SWT seperti mana para rasul dan para nabi tadi.

Islam yang dibawa oleh para nabi dan rasul adalah sama sahaja pada prinsipnya namun yang membezakan antara ajaran-ajaran mereka adalah hanya pada cabang syariat di mana ia adalah berdasarkan kepada keperluan umat mengikut zaman masing-masing. Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW adalah lebih luas dan lebih syumul daripada rasul-rasul yang sebelumnya kerana Rasulullah diutuskan untuk para jin dan manusia sehinggalah tibanya hari kiamat. Tidak seperti rasul-rasul sebelumnya di mana mereka diutskan hanyalah untuk kaum-kaum mereka sahaja.

Dengan Nabi Muhammad SAW yang disempurnakan risalah dan nubuah serta juga disempurnakan agamanya dengan selengkap-selengkapnya. Firman Allah SWT:

"Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa untuk mengalahkan agama kamu, sebab itulah jangan kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada Aku. Dan pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu akan agamamu dan Aku cukupkan bagi kamu nikmatKu dan telah aku redha Islam itu menjadi agama kamu".

Al Maidah : 3

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

"Bandingan antara aku dan nabi-nabi seperti seorang yang membina rumah, lalu dia membina dengan baik dan memperindahkannya melainkan pada tempat sekeping batu-bata yang ada di salah satu sudutnya, lalu orang ramai mengelilingi rumah itu dan kagum melihatnya lalu mereka berkata mengapakah tidak diletakkan batu-bata ini. Maka akulah seperti batu-bata itu dan aku penyudah nabi-nabi".

Islam yang dibawa oleh rasul-rasul yang terdahulu telah dilupai, dipindah dan diselewengkan sehingga berlakunya penyelewengan di kalangan pengikut yang kebelakangan di dalam akidah, ibadat dan akhlak.

Keadaan ini berterusan sehinggalah dibangkitkan Nabi Muhammad SAW yang diwahyukan dengan Al-Quran dan mengemukakan As-Sunnah yabg teguh matang dan tidak mungkin lagi dikelirukan. Ia menjelaskan segala macam masalah kehidupan manusia bersabit denga akidah, ibadah, poloitik, ekonomi, sosial, perdamaian, peperangan, dan segala bentuk hukum yang perlu dalam seluruh kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, tempat dan masa.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BENCANA APABILA MENINGGALKAN AJARAN AGAMA FITRAH

Kita sebagai seorang umat Islam, mestilah terus menerus menjadi pengikut setia kepada Rasulullah, iaitu dengan beramal dengan ajaran yang tidak ada sedikitpun kekurangan padanya.

Seorang sahabat bernama Suffian bin Abdullah r.a bertanya kepada Rasulullah yang bermaksud: Ya Rasulullah, beritahulah kepada saya mengenai Islam dengan jelas dan saya tidak lagi bertanya kepada orang lain. Jawab Rasululah : Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah iaitu berada di atas jalan yang lurus dan mengikut ajaran yang benar. Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW ialah ajaran benar daripada Allah SWT.

Manusia hendaklah tunduk kepada peraturan ajaran yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sama ada dalam perkara yang diberi nama ibadat dan dengan seluruh urusan hidup mereka, kerana semua perkara berada di bawah pemerintahan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai manusia sembahlah kamu akan Tuhan kamu (Allah) yang telah menjadikan kamu dan orang-orang yang sebelum daripada kamu supaya kamu bertaqwa".

Al-Baqarah : 21

Mengadakan sekutu-sekutunya bagi Allah SWT adalah mengadakan tuhan-tuhan yang lain daripada Allah SWT untuk dipuja dan disembah serta dilakukan ibadat kepadanya. Termasuk mengadakan sekutu bagi Allah SWT juga ialah dengan mengadakan peraturan dan hukum-hukum yang lain dari Allah SWT yang terdiri daripada halal dan haram dan mengadakan peraturan hidup yang lain daripada Islam di dalam perkara yang tidak diizinkan Allah SWT.

Kita tidak boleh pandai-pandai mengadakan peraturan dan hukum sendiri di dalam perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT tetapi kita bebas mengadakan peraturan-peraturan menggunakan akal fikiran kurniaan Allah untuk menolak mudharat dan mendatangkan faedah selagi dibenarkan oleh Allah dan jangan sekali-kali cuba mengubah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ajaran Rasulullah adalah ajaran yang sempurna yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagai nikmat yang paling besar kepada manusia yang tidak boleh dibandingkan denagn nikmat-nikmat lain. Firman Allah yang bermaksud:

"Pada hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku cukupkan bagi kamu nikmatKu dan Aku redha Islam itu menjadi agama kamu "

Al Maidah : 3

Tetapi akhir-akhir ini adat dikalangan umat Islam sendiri yang mengadakan peraturan-peraturan dan hukum-hukum di dalam perkara-perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT, maka berlakulah perbagai jenis penyakit di dalam masyarakat, penyakit keruntuhan akhlak, politik, ekonomi dan berbagai-bagai maksiat yang tidak boleh diatasi dengan berbagai-bagai peraturan dan undang-undang ciptaan manusia yang dilaksanakan kini. Puncanya ialah kerana manusia mencari jalan penyelesaian dengan cara lain daripada yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. Firman Allah yang bermaksud:

"Telah nyata kerosakan dilautan dan didaratan hasil daripada perbuatan manusia untuk dirasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali kepada Allah".

Ar-Rum : 41

Marilah kita menyedari betapa besarnya ajaran Rasulullah SAW dan besarnya bencana yang akan menimpa kita sekiranya kita meninggalkan ajaran tersebut. Ketika kewafatan Rasulullah dan ketika para sahabat berada di dalam keadaan sedih dan bingung Saidina Abu Bakar telah menyampaikan satu pidato yang bermaksud:

"Wahai manusia, sesiapa yang menyembah Muhammad maka Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak sekali–kali mati. Muhammad itu seorang rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya rasul-rasul. Adakah apabila beliau wafat atau terbunuh, maka kamu akan berpaing murtad? Dan barang siapa yang murtad maka ia tidak memberi mudharat sedikit pun kepada Allah. Dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."

Marilah kita menjadi orang-orang yang bersyukur kepada nikmat Allah yang paling besar iaitu nikmat kedatangan Rasulullah SAW dengan menjadi pengikutnya yang setia dan jangan sekali-kali kufur kepada nikmat Islam yang telah diberikan oleh Allah SWT itu. Firman Allah yang bermaksud:

"Sesiapa yang mencari agama lain daripada Islam, maka tidak akan diterima oleh Allah dan dia di akhirat kelak termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi."

Ali Imran : 85

 

 

 

 

 

 

SIFAT-SIFAT UNTUK MENJADI SEORANG PENGANUT AGAMA FITRAH YANG HAKIKI.

Untuk menjadi seorang penganut agama Fitrah yang sempurna, baik dan hakiki, seseorang itu mestilah mempunyai aqidah yang sebenar-benarnya, iaitu bukan yang palsu. Inilah yang menjadi syarat utama bagi seseorang itu. Aqidah itu mestilah selamat dan sejahtera serta selari dengan setiap ajaran yang dibawa oleh para rasul-rasul terutamanya Nabi Muhammmad SAW.

Terdapat sebanyak 14 ciri-ciri yang mesti dimiliki oleh setiap insan yang mengaku dia adalah penganut agama Fitrah.

Pertama:

Setiap insan itu mestilah mengakui dan beriman bahawa Allah SWT itulah yang menjadikan alam semesta ini. Ia bersifat Maha Hakim, Maha Bijaksana, Maha Kuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesuatu sebagai tempat pergantungan.

Keanehan, kebesaran serta kesempurnaan ciptaan Allah SWT yang mencipta alam semesta ini, dapat dilihat sehingga satu bahagian daripada alam ini, tidak dapat kekal wujud tanpa bergantung kepada sesuatu komponen alam yang lain.

Umpamanya, Manusia dan haiwan tidak dapat hidup tanpa bergantung kepada tumbuhan sebagai sumber makanan dan bagi masyarakat primitif terutamanya, tumbuhan juga sebagai sumber pakaian. Begitu juga sebaliknya, iaitu tumbuhan memerlukan haiwan untuk proses-proses tertentu seperti pendebungaan, penyubur tanah-tanih dan sebagainya.

Kedua:

Untuk beraqidah dengan aqidah Agama Fitrah, setiap insan itu mestilah beriman bahawa Allah SWT tidak menjadikan alam semesta ini dengan sia-sia sahaja iaitu dengan tanpa tujuan kerana Allah SWT yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaannya itu, tidak akan layak untuk melakukan perbuatan yang sia-sia. Adalah mustahil untuk seseorang insan itu, mengetahui tujuan Allah SWT menjadikan alam sejagat ini, kecuali apa yang telah diterangkan oleh para rasul serta di dalam ayat Allah SWT. Firman Allah SWT:

"Adakah kamu menyangka bahawa Kami jadikan kamu sia-sia?"

Al-Mukminun : 115

Ayat di atas mengutarakan pertanyaan dalam bentuk mengingkari, yang membawa maksud bahawa Allah SWT menjadikan manusia dan alam ini bukanlah dengan main-main sahaja tanpa tujuan dan matlamat. Dan sesungguhnya, manusia kelak akan dikembalikan kepada Allah SWT untuk dibuat perhitungan.

Untuk mengukuhkan lagi hujah ini Allah SWT berfirman:

"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk mengabdikan dirinya kepadaKu".

Az Zariat : 56

Ketiga:

Untuk beraqidah dengan aqidah Agama Fitrah, setiap insan itu mesti beriman dan meyakini Allah SWT mengutuskan para-rasul dan menurunkan kitab-kitab untuk mengajar manusia supaya mengenal Allah SWT dan mengajar mereka akan matlamat hidup mereka dan pengakhiran hidup mereka. Setiap insan itu juga mesti meyakini bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah nabi dan rasul yang terakhir dan diturunkan Al-Quran kepadanya sebagai suatu mukjizat yang berkekalan sehingga hari akhirat.

Firman Allah SWT:

"Dan sesungguhnya Kami menurunkan rasul-rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah SWT sahaja dan jauhilah Thaghut itu. Maka di antara umat-umat itu ada orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah SWT dan ada pula orang-orang yang telah pasti akan kesesatan baginya."

An Nahl : 36

Setiap insan itu, mestilah mengabdikan diri semata-mata kepada Allah SWT dan membuangkan sebarang bentuk pengabdian kepada Thaghut (iaitu selain daripada Allah SWT). Thaghut itu dimaksudkan sebagai segala macam yang berbentuk kezaliman. Ini adalah termasuklah sama ada dia zalim kepada dirinya sendiri atau zalim kepada orang yang lain.

Oleh itu, setiap insan itu hanya mempunyai dua pilihan, sama ada memilih untuk akur kepada peraturan Allah SWT ataupun peraturan Thaghut yang telah terang-terang dilaknati oleh Allah SWT.

Keempat:

Untuk beraqidah dengan aqidah agama Fitrah, seseorang insan itu mestilah beriman dan meyakini bahawa matlamat hidup manusia adalah:-

1) Untuk mengenal Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaanNya.

2) Untuk mengerjakan taat kepada Allah SWT.

3) Untuk mengabdikan diri semata-mata kepada Allah SWT.

Tujuan seseorang insan itu, adalah untuk mengenal Allah SWT dan mentaati apa sahaja perintahNya dan menjauhi segala apa laranganNya. Lantaran itu, jika seseorang itu mengenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya maka natijahnya akan melahirkan ketaatan kepada Allah SWT dan segala perlakuannya tidak lain dan tidak bukan juga hanya kerana Allah SWT.

Di dalam konteks untuk menegakkan hukum Allah SWT di muka bumi ini, setiap insan itu mestilah memulakan penegakkan itu di dalam dirinya dan kemudiannya di kalangan ahli keluarganya seterusnya, kepada masyarakat yang berada di sekelilingnya.

 

 

 

Kelima:

Untuk beraqidah dengan aqidah agama Fitrah yang sesungguhnya, setiap insan itu mestilah beriman dan meyakini bahawa syurga itu adalah balasan kepada mukmin yang taat dan neraka jahanam itu adalah balasan kepada orang-orang yang membuat maksiat dan kufur kepada Allah SWT.

Bahagian kelima ini ada sangkutan dengan bahagian yang keempat kerana pada bahagian ini diteruskan mengenai untung ruginya hasil daripada ketaatan kepada Allah dan kekufuran juga kepada Allah SWT.

Di hari akhirat nanti, terdapat dua golongan yang akan wujud. Mereka itu adalah terdiri daripada golongan insan yang akan berada di syurga dengan penuh kenikmatan dan kebahagiaan, manakala segolongan lagi adalah insan yang akan diletakkan di dalam neraka yang penuh dengan siksaan, kepedihan dan kesengsaraan, akibat maksiat yang telah dilakukan ketika berada di dunia.

Keenam:

Untuk dianggap sebagai seorang penganut agama Fitrah yang beraqidah dengan aqidahNya, setiap insan itu mesti beriman dan meyakini manusia boleh berusaha serta berikhtiar untuk mendapatkan kebajikan dan kebaikan serta kejahatan. Dan setiap insan itu, akan mendapat kebaikan dengan keizinan, taufik dan pertolongan dari Allah SWT. Seseorang itu tidak akan mendapat kecelakaan jika tidak diizinkan atau hukuman dari Allah SWT.

Kesemua ini hanya berlaku dalam lingkungan usaha insan itu sendiri dan Allah SWT akan mengilhamkan kepada jiwa manusia jalan ketaqwaan dan juga jalan kefasikan.

Firman Allah SWT:

"Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang ia telah perbuat"

Al Muddatsir : 38

Lantaran jika seseorang itu mahu dimasukkan ke dalam syurga maka ianya juga adalah di bawah kemampuan manusia dan setiap insan itu mampu untuk melakukan amalan dan perbuatan yang boleh membawa dirinya ke syurga. Begitu jugalah dengan sebaliknya, jika seseorang itu mahu dimasukkan ke dalam neraka, pasti mempunyai sebab-sebabnya.

Sesungguhnya seseorang itu, tidak akan mendapat kebajikan dan kebaikan jika tidak dengan hidayah dan petunjuk Allah SWT. Misalannya, terdapat ramai orientalis yang memahami dan menghafal Al-Quran, malah ada juga antara mereka yang telah menjilid hadis-hadis, yang lebih banyak daripada ulama Islam sendiri, namun mereka tidak mendapat kebaikan dan kebajikan daripadanya kerana mereka tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT.

Ketujuh:

Untuk menjadi seorang penganut agama Fitrah yang berpegang dengan aqidahNya, maka setiap insan itu mestilah beriman dan percaya dengan sebenar-benarnya bahawa mempraktikkan undang-undang Allah SWT kepada seluruh alam sejagat adalah hak Allah SWT semata-mata. Manusia tidak boleh melewati batas-batas yang telah ditetapkan. Seseorang insan yang berpegang dengan aqidah ini dibenarkan untuk berijtihad, mengeluarkan hukum-hukum dalam batas-batas yang diizinkan oleh Allah SWT yang dinamakan batas syara’.

Lantaran itu, sebarang kuasa selain daripada kuasa Allah SWT tidak mempunyai hak untuk mengatur dan menentukan perundangan kepada alam sejagat atau kepada sebahagian daripada alam ini, kerana itu semua adalah hak Allah SWT. Ini adalah kuasa mutlak yang hanya dimiliki oleh Allah SWT.

Begitu jugalah kalau ada orang yang menerima pakai sistem Komunisma, Sosialisma dan isma-isma yang lain maka ia secara terang-terangan menentang Allah SWT. Firman Allah SWT:

"Apakah kamu beriman dengan sebahagian kitab (Taurat) dan kamu ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiada balasan bagi orang-orang yang berbuat demikian melainkan kenistaan dalam hidup di dunia dan pada hari akhirat mereka akan dikembalikan kepada siksa yang amat berat. Allah SWT tidak lengah dari apa yang kamu perbuat".

Al Baqarah : 85

 

 

 

 

Kelapan:

Untuk mempunyai aqidah yang sebenar–benarnya, setiap insan itu mestilah mempelajari atau mencuba untuk mengenali nama-nama Allah SWT dan juga sifat-sifatnya yang layak dan sesuai bagi kebesaran Allah SWT.

Telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:

"Allah SWT mempunyai 99 nama , seratus kurang satu tidak seorang pun yang menghafalnya kecuali beliau akan masuk syurga. Allah itu ganjil (tidak genap) dan Allah menyukai perkara yang ganjil (tidak genap)."

Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam hal ini, bukanlah cukup dengan menghafalnya sahaja tetapi individu itu mestilah cuba untuk mencari akan sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT dan nama-nama Allah yang 99 itu. Kemudian, menghayatinya dan mengamalkan dalam kehidupan sehariannya. Nama yang 99 inilah yang dinamakan Asma’ Ul Husna.

Di dalam memahami hadis di atas, ramai telah membuat tafsiran yang salah. Mereka menganggapkan bahawa kalau mereka menghafal nama-nama Allah itu, mereka akan masuk syurga walaupun ketika itu mereka masih berbuat maksiat seperti berjudi, berzina dan sebagainya.

Inilah yang menyebabkan perkara-perkara maksiat terus berleluasa di kalangan umat Islam. Tidak ada perasaan takut dan gementarnya kepada Allah SWT. Terdapat juga kejadiaan bahawa orang yang berpegang dengan tafsiran bahawa dengan hanya menghafal Asma’ Ul Husna ini boleh menjamin masuk seseorang itu kedalam syurga walaupun mereka masih bergelumang dengan maksiat.

Walaubagaimanapun, adalah tidak dinafikan akan fadhilat menghafal nama-nama seperti yang terdapat di dalam Asma’ Ul Husna itu memang ada, tetapi apa yang hendak diperkatakan di sini adalah bila dipelajari akan nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT itu maka mestilah dihayati akan kebesaran Allah SWT dan melihat betapa kerdilnya manusia ini. Tidaklah mencukupi dengan hanya menghafalnya sahaja, tanpa lahir dari jiwa individu tersebut tentang kebesaran Allah SWT dan juga kesempurnaanNya. Keyakinan terhadap kesempunaan Allah ini mestilah tercerna di dalam kehidupan barulah ganjarannya syurga InsyaAllah. Firman Allah SWT:

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan "Kami telah beriman" sedangkan mereka belum diuji lagi?"

Al Ankabut : 2

 

 

 

 

 

Firman Allah SWT lagi:

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh, (itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."

At Taubah: 111

Kesembilan:

Untuk mempunyai aqidah agama Fitrah seseorang individu itu mestilah berfikir tentang kejadian Allah SWT yang dapat dilihat. Bukan berfikir tentang zat Allah SWT. Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:

"Berfikirlah tentang kejadian ciptaan Allah dan jangan kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak dapat mentakdirkan (menentu zat) Allah sebenarnya."

(Riwayat Abu Nuain dan Al Asbihani)

Ciptaan Allah SWT yang sempurna itu sebahagiannya dapat kita lihat di muka bumi ini dengan setiap individu itu sentiasa memerhatikan ciptaan itu, maka dapatlah individu tersebut menumbuhkan ke dalam lubuk hatinya tentang kebesaran Allah SWT dan apa sahaja hal yang berkaitan dengannya.

Bila individu tersebut mempunyai perasaan ini kita akan dapat merasakan kekerdilan diri kita berbanding dengan kebesaran Allah SWT. Individu itu mestilah mengetahui bahawa dia seorang muslim dengan merasakan hal ini akan bertambah kepatuhannya kepada Allah SWT ia sesekali tidak akan membantah suruhan Allah SWT kerana ia tahu bahawa ia sentiasa memerlukan pertolongan daripada Allah SWT.

Ada seorang ahli falsafah moden menyatakan, Allah SWT tidak memikirkan tentang apa yang diciptakanNya. Ini adalah jangkaan yang salah kerana banyak perkara Allahlah yang memberikan rezeki kepada insan dan pelbagai kejadian lain yang menunjukkan kekuasaan Allah.

Umpamanya, kuman yang tidak pernah dilihat dan bagaimana darah mengalir di dalam jasad individu itu yang mana ia mengalir dengan kederasan yang melebihi aliran sungai, ini semua adalah ciptaan Allah SWT yang Maha Agung. Oleh itu individu tersebut dibolehkan dan amat patut sekali untuk memikirkan tentang ciptaan-ciptaan Allah selagi mana ianya berada di dalam batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah.

Kesepuluh:

Adapun sifat-sifat Allah itu telah banyak disebut oleh Allah di dalam Al Quran. Ada yang menerangkan tentang kewujudan Allah SWT, kekalnya Allah SWT serta sediakalanya Allah SWT. Juga Dia bersalahan dengan segala yang baharu.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Katakanlah (Ya Muhammad ) dialah Allah SWT yang maha Esa, Allah SWT adalah tuhan yang bergantung akan segala sesuatu. Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tiada seorang pun yang setara denganNya."

(Al Ikhlas: 1-4)

Ada juga ayat-ayat yang menerangkan bahawa Allah SWT itu bersifat dengan kudratNya yang mengatasi segala bentuk kuasa yang lain. Ada pula ayat lain, yang menerangkan tentang kekuasaanNya dan keluasan ilmuNya sepertimana yang telah kita ketahui ianya tiada batas dan mencakupi segala yang wujud.

Allah SWT mempunyai Iradah yang mengatasi segala kehendak yang lain. Ada ayat yang menerangkan Allah SWT itu bersifat denga sifat yang hidup dan sifat kesempurnaan Allah SWT yang tidak putus dan tidak ada batasnya. Dengan kata lain ia tidak dapat dihitung bilangannya.

Kalau dihayati ayat Al Quran yang bermaksud "Allahlah yang memiliki hari kiamat" maka sesungguhnya sesuatu yang memiliki itu mestilah wujud dan sesuatu yang tidak wujud itu tidak dapat memiliki sesuatu. Sebagai contoh, sekiranya kita masih belum mempunyai anak maka adakah kita hendak menyatakan bahawa anak kita itu memiliki tiga ekar tanah? Kalau ia masih dalam kandungan, ia telah boleh dikatakan ada tetapi masih dalam kandungan. Hendaklah difahami bahawa yang diperbincangkan ini adalah perkara yang tidak ada. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dia pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Dia dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

As Syura : 11

Kalaulah Allah SWT menjadikan segala sesuatu maka sudah jelaslah kewujudan Allah SWT kerana sesungguhnya setiap benda yang terjadi itu mestilah ada orang yang menjadikannya maka kewujudan Allah SWT itu secara langsung diterangkan oleh ayat-ayat yang bersifat mubasyarah.

Kesebelas:

Untuk beraqidah dengan aqidah agama Fitrah yang sebenar-benarnya, setiap insan itu mestilah beriman dan meyakini dengan beriqtikad bahawa pendapat dan pandangan ahli salaf adalah lebih utama untuk saya ikuti demi memutuskan permasalahan ta’wil dan mengabaikan perintah Allah SWT, juga untuk menyerah urusan ini kesemuanya kepada ilmu Allah SWT . Saya juga mesti berkeyakinan bahawa penta’wilan yang dilakukan oleh orang yang terkemudian (khalaf) tidaklah membawa kepada kekufuran dan kefasiqan kepada manusia.

Larangan itu berselisihan antara golongan salaf dan khalaf. Ini tidaklah boleh dijadikan alasan untuk meneruskan perselisihan , baik pada masa yang dahulu mahupun pada masa sekarang. Pada pendapat dan pemikiran golongan salaf (golongan dahulu, golongan tabiin) mestilah lebih kita utamakan sebagai contoh, ahli salaf dalam mentafsirkan Al Quran.

Bila sampai ayat-ayat yang menyebut nama dan sifat-sifat Allah SWT mereka tidak membuat ta’wil (keputusan). Umpamanya macam mana tangan Allah SWT dan macam mana muka Allah SWT. Tapi ayat "Tangan Allah SWT mengatasi tangan mereka" di mana ayat Al Quran ini ditafsirkan oleh golongan salaf sebagai kekuasaan Allah SWT itu mengatasi kekuasaan manusia. Dan dari itu kita mestilah berkeyakinan bahawa pendapat golongan salaf itu lebih baik dari golongan khalaf sebab kita dari golongan khalaf banyak menta’wil terhadap ayat-ayat Al Quran dan Hadis.

Bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan golongan khalaf. Perbezaan pendapat ini bukanlah untuk diambil sebagai kesempatan untuk mengadakan perpecahan sebab pendapat golongan khalaf tidaklah membawa kepada kekufuran ataupun murtad, oleh itu kalau ada orang yang salah faham mengenai perkara ini nasihatilah dia dan ajarlah mereka berbincang dan jangan selalu memburuk-burukkan satu-satu golongan. Dan juga kita janganlah pula fanatik terhadap mazhab yang dipegang.

Malangnya apa yang berlaku adalah pihak penjajah telah merosakkan cara untuk berbincang di mana mereka telah menggantikan perbincangan untuk mencari kebenaran dengan mengadakan perbahasan-perbahasan, forum-forum yang mana cara ini sememangnya bertujuan untuk menegakkan pendapat masing-masing sekalipun pendapat mereka salah.

Oleh itu cara yang digunakan oleh penjajah ini ialah cara untuk mendapat kemenangan dan bukannya cara untuk mencari kebenaran.

Kedua belas:

Untuk beraqidah dengan aqidah agama Fitrah yang sebenar-benarnya, saya mestilah mengabdikan diri semata-mata kepada Allah SWT dan tidak mensyirikkan serta menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain, sebagai menyahut semua dakwah dan semua risalah yang dibawa oleh para rasul. Semua risalah para rasul menyeru manusia kepada beribadat dan mengabdikan diri semata-mata kerana Allah SWT dan tidak tunduk kepada yang lain dari Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan para rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah SWT sahaja dan jauhilah thagut."

An Nahl : 36

Marilah kita cuba bincangkan permasalahan ini dengan secara ringkas. Tanyalah pada diri kita sendiri, bagaimanakah caranya hendak mengabdikan diri kita semata-mata kepada Allah SWT dengan tidak menyekutukanNya dengan segala sesuatu? Untuk menjawab soalan ini, seseorang individu itu mestilah mengamalkan dengan meletakkan segala tingkah lakunya kerana Allah SWT semata-mata.

Tidak ada sesuatu yang dilakukan melainkan ianya adalah kerana Allah SWT. Seseorang insan itu, hanya akan tunduk, patuh dan taat hanyasanya kepada Allah SWT dengan melaksanakan perundangan, peraturan Allah SWT di alam ini dan akan meniggalkan 100% perundangan ciptaan thagut yang berlandaskan hawa nafsu semata-mata.

Ketiga belas:

Untuk beraqidah dengan aqidah agama Fitrah yang sebenarnya setiap insan mestilah takut kepada Allah SWT semata-mata dan tidak takut kepada yang lain daripada Allah SWT. Ketakutan kepada Allah SWT itu akan mendorong insan tersebut untuk menjauhi perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT dan yang diharamkan oleh-Nya. Firman Allah SWT di dalam Al- Quran yang bermaksud:

" Dan barangsiapa yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah SWT dan bertaqwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan."

An Nurr : 52

" Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperolehi ampunan dan pahala yang besar."

Al Mulk : 12

Justeru itu individu tersebut hendaklah takut hanya kepada Allah SWT dan tidak takut sama sekali kepada sebarang kuasa thaghut yang selain daripada Allah SWT. Thaghut itu baik berupa kerajaan atau orang perseorangan, maka tidaklah boleh gentar menghadapi mereka. Tidaklah saya perlu takut kepada orang-orang yang serupa seperti Jamal Abdul Naseer di Mesir atau Shah Reza Pahlavi di Iran kerana mereka itu tidak dapat berbuat apa-apa tanpa pertolongan atau keizinan Allah SWT.

Kalau sekiranya insan itu takut kepada orang-orang seperti ini bermakna ia takut kepada thaghut dan tidak takut kepada Allah SWT, ini akan membawa dirinya kepada syirik dan dari perbuatan itu, memberi makna yang secara tidak langsung mengatakan thaghut itu lebih berkuasa dari Allah SWT.

Dari itu, setiap orang muslim mempunyai kewajipan untuk memahami Islam dengan menentukan terlebih dahulu yang manakah yang paling penting. Hal yang paling penting mestilah dikerjakan terlebih dahulu. Kalau diperhatikan akan generasi Al-Quran, mereka ini tidak takut akan mati, tetapi apa yang mereka amat takut adalah kepada Allah SWT.

Perkara ini amat senang untuk diucapkan, tetapi amat susah untuk diamalkan. Setiap insan mestilah berwaspada di dalam hidupnya, kerana iman itu akan sentiasa disogokkan dengan wang, pangkat, perempuan dan sebagainya. Dari itu insan tersebut mestilah menyedari bahawa dirinya akan sentiasa diuji , sama ada lebih takut kepada Allah SWT atau kepada yang lain, atau sama ada insan itu tahan kepada Alllah SWT ataupun engkar dan sebaliknya taat kepada thaghut. Inilah realiti yang akan dihadapi di dalam kehidupan di dalam dunia yang fana ini.

Keempat belas:

Untuk beraqidah dengan aqidah agama Fitrah yang sebenarnya, setiap insan hendaklah sentiasa berzikir dan mengingati Allah SWT. Diamnya mestilah untuk berfikir dan bertuturnya adalah hanyalah kepada zikir kerana zikrullah adalah satu ubat yang mujarab dan sangat berkesan untuk berdepan dengan serangan zaman dan masa serta bahaya kekotoran hidup. Oleh itu, pertahanan ini adalah sangat diperlukan oleh setiap diri pada setiap masa. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

" (Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatilah dengan hanya mengingati Allah, hati menjadi tenteram."

Ar Ra’du : 28

Bila manusia sampai ke peringkat ini, ia sentiasa tidak akan melupakan Allah SWT, sehingga diamnya hanyalah untuk berfikir dan bertuturnya adalah berzikir kepada Allah SWT. Lantaran itu dalam hidupnya, tiada perkara yang sia-sia. Inilah yang dikatakan abdi Allah SWT. Bagaimanakah yang dikatakan bercakap itu boleh menjadi suatu zikir?

Sekiranya menghadiri ceramah agama, penceramah yang bercakap akan sentiasa berzikir dan yang mendengar akan sentiasa berfikir. Percakapan seharian bersama rakan sejawat pun kalau dalam lingkungan yang diizinkan oleh syarak, maka ianya juga dikatakan berzikir. Sesungguhnya percakapan yang tidak sia-sia itu akan menguatkan lagi benteng aqidah.

Sekiranya dilihat kembali sirah perjuanagn Rasullullah dan para sahabat, maka penderitaan dan kekuatan serta kegigihan mereka itu akan menguatkan lagi keimanan. Oleh itu, daripada merekalah, seharusnya diambil contah tauladan. Dengan demikian, percakapan yang memenuhi ruang lingkup batas keislaman itu adalah zikir kepada Allah SWT.

Kesimpulannya:

Orang-orang yang beriman dan benar-benar berpegang kepada agama Allah SWT tidak akan mengidap penyakit jiwa dan kenyataan ini telah pun dikeluarkan pakar jiwa, saintis barat yang bernama Dr. Brill.

Seorang lagi pakar jiwa barat moden mengatakan hal yang sama dalam bukunya, sebagai menyatakan bahawa orang yang beriman dan berpegang teguh sudah cukup untuk mengelakkan perasaan keluh resah dan gangguan saraf.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RAHSIA KEKUATAN PEJUANG AGAMA FITRAH (ISLAM)

Perjuangan Islam telah memakan masa yang panjang sejak zaman Rasulullah bahkan termasuk juga perjuangan para nabi terdahulu. Para pejuang pula telah melalui pelbagai pengalaman serta menghadapi banyak jenis rintangan.

Walaubagaimanapun, musuh-musuh Islam sering kehairanan melihat ketahanan dan asas kekuatan pejuang-pejuang Islam dalam banyak medan peperangan walaupun musuh Islam jauh lebih ramai dan mempunyai kelengkapan yang tidak setanding, namun pejuang-pejuang Islam bukan saja tidak gentar atau berundur bahkan kerapkali mereka berjaya mengalahkan musuh. Kekuatan Islam dan perjuangan sebenarnya tidak bergantung kepada jumlah (kuantiti) dan kelengkapan. Dalam hubungan ini Allah telah berfirman dalam surah Al-Ra'du yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

Rahsia kekuatan itu sebenarnya wujud dalam diri pejuang-pejuang itu sendiri iaitu:

  1. Menjadikan akidah sebagai asas
  2. Melaksanakan tanggungjawab jihad
  3. Mengejar kemuliaan sebagai syuhada'
  4. Adanya bantuan dari Allah
  5. Meletakkan pergantungan hanya kepada Allah
  6. Mengejar kelebihan dan pengiktirafan Islam

Menjadikan Akidah Sebagai Asas

Asas ini merupakan faktor utama kekuatan islam iaitu keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Kepercayaan yang jitu terhadap tuhan yang sebenar dan wujudnya hari pembalasan menyebabkan para pejuang Islam tidak terikat dengan masalah dunia atau takutkan mati untuk bertemu dengan tuhannya.

Segala kepayahan dan kekurangan didunia dianggap sementara dan bila-bila masa Allah SWT boleh memberi atau menariknya kembali. Keyakinan yang terbina dalam diri para pejuang bahawa mereka berada di pihak yang benar menjadi alasan yang paling kukuh mengapa mereka perlu berjuang menentang setiap kebatilan. Dalam ayat lain pula, Allah SWT telah berfirman maksudnya:

"dan janganlah kamu merasa terhina dan janganlah kamu merasa sedih,bahkan kamulah yang lebih tinggi (kedudukannnya) sekiranya kamu benar-bebar beriman"

"Allah menegaskan kepada para pejuang bahawa mereka tidak boleh merasa hina dan sedih walaupun dalam keadaan kalah dan lemah kerana asas yang membezakan mereka dengan orang lain adalah keimanan kepada Allah."

Ali Imran : 139

Melaksanakan Tanggungjawab Al-jihad

Persoalan jihad adalah suatu perkara yang penting dalam Islam. Islam mewajibkan umatnya berjihad sepanjang zaman supaya Allah memberi kemuliaan kepada mereka di atas kesungguhan mempertahankan dan mengembangkan agamanya. Firman Allah yang membawa maksud:

"Allah melebihkan mereka yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka berbanding mereka yang tinggal (tidak berjuang) dengan kelebihan satu darjat dan setiap satu dari dua golongan ini Allah menjanjikan balasan yang baik dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang di atas mereka yang tidak berjuang dengan ganjaran pahala yang amat besar."

An-Nisa' : 95

Allah menyanjung orang yang berjuang dengan harta dan jiwa raga mereka, lalu Dia mengurniakan darjat yang lebih tinggi bahkan Allah SWT juga memberi jaminan kepada para pejuang sama ada mereka dikurniakan syurga apabila mati atau mendapat pulangan segera di dunia dalam bentuk harta rampasan perang dan lain-lain.

Sebaliknya apabila tanggungjawab jihad diabaikan maka akan berlakulah berbagai musibah pada umat Islam. Kita telah melihat di dalam sejarah di mana kehancuran yang menimpa umat Islam adalah kerana mereka mengabaikan tanggungjawab agama mereka.

Contohnya di dalam peristiwa serangan tentera monggol ke atas Baghdad. Kehancuran dan kekalahan umat Islam berpunca daripada kelalaian mereka serta berpecahnya negara Islam. Namun apabila mereka kembali dengan seruan jihad, mereka mendapat kekuatan semula. Kerana itulah Khalifah Abu Bakar dalam ucapan menyebut yang bermaksud:

"Tidaklah sesuatu kaum itu meninggalkan jihad pada jalan Allah, melainkan Allah akan menimpa ke atas mereka dengan kehinaan."

Di dalam peristiwa tadi mereka menyumbang nikmat yang diberikan oleh Allah dengan slogan "Wa Islama!" yang bermaksud "Marilah Menyelamatkan Islam" dengan slogan itu umat Islam telah bejaya mengalahkan tentera Monggol dalam perang Ain Jalut yang difikirkan satu keajaipan oleh manusia.

penutup

Sesungguhnya telah nyata kepada semua manusia di dunia ini, bahawa hanya ada satu sahaja agama yang diistilahkan sebagai agama fitrah iaitu agama yang telah diturunkan oleh Allah SWT, Islam. Walaupun ada juga agama yang telah diturunkan juga oleh Allah, namun penerimaannya telah pun dimansuhkan dengan kelahiran nabi yang terakhir bagi ummat di dunia ini, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Dengan kelahiran dan kerasulan nabi yang terakhir ini, maka ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul yang terdahulu termansuh secara automatik. Ini adalah kerana ajaran yang terdahulu hanya untuk kaum yang terdahulu kerana kesesuaiannya. Keistimewaan ajaran Rasullullah SAW adalah ajarannya untuk ummat sehingga hari kiamat.

Agama-agama budaya pula, tidak boleh diistilah sebagai agama fitrah, kerana asasnya bukan daripada Allah SWT. Dimulakan atas sebab sekeliling atau kebudayaan hidup masyarakat itu sendiri. Ia juga mungkin disebabkan oleh falsafah-falsafah yang dibawa oleh insan-insan tertentu.

Oleh yang demikian, telah nyata dan sahih sama ada melalui dalil akli atau naqli, Islam adalah agama fitrah yang sebenarnya. Dikukuhkan lagi dengan dalil dari Allah SWT iaitu:

"Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah, ialah Islam"

Ali Imran : 19

Sesungguhnya yang baik itu, sememangnya adalah ketetapan dari Allah dan yang buruk itu, juga dari Allah namun bedasarkan kepada kelemahan manusia.

bibliografi

 

Abd. Hadi Awang (1989); Muqaddimah Aqidah Muslim; Kuala Lumpur; G.G. Edar.

Abu Abdul Rahman An Nairusiy (1995); Pedoman Fardu Ain; Kuala Lumpur; Penerbitan Nurulhas.

Aminuddin Ruskan Al Dawamy (1997); Aqidah Ketuhanan Dan Sains; Skudai; Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia.

Ismail Kamus (1989); Panduan Fardu Ain; Kuala Lumpur; At Tafkir Enterprise

Madrasah An Nahdah (1991); Huraian Apa Ertinya Saya Menganuti Agama Islam; Kota Sarang Semut; Monograf.

Malik Bennabi (1991); Islam Dalam Sejarah Dan Masyarakat; Kuala Lumpur; Dewan Bahasa Dan Pustaka; Alih Bahasa Ismail Ahmad

Maurice Bucaile (1984); Bibel, Qur’an Dan Sains Moden; Batu Caves; Thinker’s Library Sdn Bhd; Alih Bahasa H. M. Rasjidi.

Ramli Awang et. Al (1995); Pengantar Falsafah Sains; Skudai; Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia.

Rasul Dahri (1997); Prinsip Akidah Islam; Johor Bahru; Penerbitan Jahabersa.